
Salam.
Kali ini suatu kelainan,saya akan cuba untuk manfaatkan penggunaan Bahasa Malaysia sempena bulan kemerdekaan dengan sebaik mungkin. ;)
Baru-baru ni kami diberikan tugasan untuk mencari bahan video berkenaan pendidikan. Saya terus melawat laman sesawang Youtube,rujukan terpantas. 'education in Malaysia' adalah kata kunci yang saya taip dalam kekotak 'cari' dan itu dia! Video yang tepat-satu slot dari berita Al-Jazeera dengan jangka masa hampir 3 minit. Agak pendek,kan? Tapi ia mencukupi. Video itu mengulas tentang pelaksanaan PPSMI di sekolah beserta dengan pandangan golongan pelajar dan guru-guru mengenai pelaksanaan dasar itu.
Sengaja saya lihat sudut komen. Aduh. Sungguh saya tak sangka. Dalam dunia moden sebegini,rupanya masih ada yang hidup dengan ideologi perkauman. Di sini saya tak mahu lagi menyatakan apa komen yang tertulis,rasanya tak perlu. Saya luangkan masa untuk berfikir sejenak. 'Kata-kata dari musuh adalah yang terbaik kerana musuh tak akan menyelindungkan kelemahan kita'. Setuju? Ini kata pujangga yang sememangya benar.
Sedarlah,sebarang isu,baik atau buruk di dalam pertiwi kita yang tercinta ini menjadi perhatian seluruh pelusuk dunia. Ada yang menyokong,tak kurang juga yang mengharap untuk meelihat kejatuhan bangsa kita. Bangsa kita,saya maksudkan kaum Bumiputra,Cina,India dan lain-lain,yang selama ini telah mewarnai sejarah Malaysia dengan warna-warna indah. Kenapa sekarang-setelah 52 tahun kita hidup bersama,kenapa sekarang harus wujud keretakan? Bangsa asing melihat kita dengan pandangan ragu,sedangkan kita berlari deras untuk mengejar kemajuan. Ya,benar kita dari Dunia Ketiga. Mengapa,Dunia Ketiga tak boleh majukah?
Banggalah kerana kita dari Malaysia.
Sahabatku,berhentilah meniru dan mengajuk budaya asing. Seraplah apa yang baik sahaja dan tinggalkanlah segala yang kurang manis. Mereka tahu kita ini berakar umbi Asia. Rambut hitam atau perang gelap,dan warna mata juga yang sama. Hentikan mewarna rambut dan menukar warna mata semata-mata untuk kelihatan seperti bangsa lain. Apa yang kurang dengan anugerah Allah ini,sehingga kita menukar kejadian-Nya? Sedarlah,mereka mencemuh. Mereka menganggap kita tidak setanding dengan mereka,'bangsa agung' yang hebat,tapi masih hendak meniru gaya mereka. Sedarlah. Saya benar-benar tersentak dengan apa yang saya baca di skrin komputer riba saya petang itu. Tak perlu sebak dan bertanya mengapa mereka sanggup memandang kita sebegitu rupa. Tanyalah diri sendiri. Mereka dengan kita sama sahaja,yang membezakan cuma ketinggian nilai budi. Saya sendiri,terus-terang,tidak ambil pusing dengan kata-kata cacian yang diluahkan encik itu. Dia sendiri sedang menunjukkan kerendahan pekerti bangsanya dengan merendah-rendahkan orang lain. Jadi,bahagiannya sudah selesai. Tapi bahagian kita belum. Bahagian kita belum. Cerminlah diri dan lihatlah realiti-sebanyak mana kita bangga dengan budaya mereka yang,maafkan saya,juga diserap dari bangsa-bangsa lain. Mereka tidak seistimewa kita,bangkitlah.
Melayu bangsa pejuang.
Melayu,suatu masa dahulu adalah bangsa pejuang. Sampai satu saat kita kehilangan tanah pusaka kita. Kita tuntut,kita tumpahkan darah untuk kembali berpijak di atas tanah Melaka. Tapi yang didapati cuma debu.
Sedarlah. Kali ini jika kita leka lagi,debu pun tak akan kita dapat. Kini,hiduplah bersama sahabat-sahabat kita,bersainglah dengan meereka,jangan wujudkan kepincangan antara sahabat yang berbeza warna kulit hanya kerana mereka bukan Melayu. Begitu juga harapan saya pada sahabat-sahabat ini. Saya terharu mendenga cerita Ayah,
"Tadi masa Ayah pegi cuci kereta,Ayah bersembang dengan sorg org Cina. Katenye,"
"Sekarang susah nak bali sayo kampung. Pucuk ubi dulu boleh dapat secekak lima kupang. Sekarang,susah."
"Ayah tanya,Melayu ke Cina? Katenye Cina,tapi dia dah lama duduk kampung Melayu. Memang boleh cakap Melayu."
Saya mencelah.
"Kenapa Yah?"
"Dia cakap Melayu fasih! Takde pelat lansung. Lagipun die guna perkataan 'cekak' tu,"
"Tu sukatan lama,"
"Ha tu le,tu Ayah tanya,"
Terharu,kan? Dan itu cuma satu contoh yang sempat saya kongsikan kali ini. Saya sendiri ada kawan-kawan berbangsa lain,baru-baru ini juga seorang kawan berbagsa lain menegur.
"Dah berbuka ke?"
"Belum,kejap lagi,"
"Ok,selamat berbuka..!"
"Terima kasih!"
Ringkas,tapi senyuman yang dilemparkannya cukup untuk membuat saya senyum meleret sampai ke bilik. Bahagia betul rasanya kalau saya dapat hidup begini selama-lamanya dengan kamu,sahabat saya yang sedang membaca coretan ini dan dengan mereka,sahabat-sahabat kita yang berbagsa lain. Cukup bahagia rasanya. Kamu tentu tahu,betul kan? Dan bahagia juga rasanya kalau kita dapat sama-sama menyanyikan Negaraku,di atas padang yang hijau,bukan debu.
Saya kasih,saya cinta,saya sayang.
Negara ini. Tanah tumpah darah Ibu saya,dan satu hari nanti darah saya. Kalau bendera jatuh di atas tanah sedang hujan turun mencurah-curah,mungkin ada yang berkata,
"Xpela...hujan kan? Basah baju aku."
Tapi kalau bendera kita,Jalur Gemilang jatuh di atas tanah sedang hujan peluru menderu-deru,mungkinkah kita sanggup,atau sampai hati berkata begitu?
Saya sendiri bukanlah seorang remaja yang cukup bagus,cukup patriotik untuk negara saya. Dan saya malu kerana ibu pertiwi ini telah melindungi saya selama 19 tahun,insyaAllah 20 tahun minggu hadapan,sebagaimana Ibu saya melindungi saya dari lahir hingga sekarang. Tanah air ini memberi saya air sepertimana Ayah saya memberi saya hidup yang sempurna dalam kesederhanaan. Saya malu. Andai satu hari tertakdir saya harus berkorban untuknya,darah ataupun keringat,saya halalkan atas tanah ini.
Merdeka ini,sayang,bukan cuma terlepas genggaman Jepun atau British dari jari-jemari kita. Merdeka ini ertinya dalam. Kebahagiaan,kebebasan,jaminan. Dan segala-galanya yang kamu boleh fikirkan. Harganya lebih mahal dari berlian. Kerana itu juga nenek moyang kita korbankan emas untuk kemerdekaan. Harganya adalah maruah,air mata,dan darah. Belum tentu terbayar,kalau kita terus mengagungkan mereka yang pernah menjajah kita. Bersahabatlah dengan mereka demi pendidikan,dan manfaat-manfaat lain untuk kemajuan. Dan selagi mereka menghormati kita sebagai satu negara yang berdikari,hormatlah mereka tanda kita bangsa berpekerti tinggi. Tapi ingatlah,jangan hilang jati diri sendiri. Ingatkan saya ini bila satu hari nanti saya terlupa. Bercakap dalam bahasa asing untuk kita bela Malaysia di mata dunia,untuk kita gambarkan indahnya tanah air kita,bukan tanda kita hilang maruah bangsa. Kecualilah kalau ia hilang dalam hati. Bukalah mata.
Saya kasihkan dia dengan sepenuh hati saya. Saya cinta dia dengan segala kebaikan dan kelemahannya. Dan saya sayang kalau saya terpaksa lepaskan dia.
Kalau kamu katakan ini pada dia yang kamu sayangi,mengapa tidak negara pada negara kita.
Saya kasihkan Malaysia dan segala isi kandungnya dengan sepenuh hati saya.
Saya cintakan Malaysia dengan segala baik mahupun buruknya.
Saya sayang jika satu hari saya terpaksa korbankan Malaysia,tanah tumpah darah saya.
Damailah roh-roh pejuang bangsa di syurga. Anak pertiwi sujud syukur pada Tuhan atas nikmat negara merdeka. Hormat pada Duli lambang kedaulatan tanah bertuah. Bangga dengan negeri yang hasilnya melimpah ruah. Sumpah dalam hati akan berdiri untuk Malaysia.
Merdeka!!!
















